55 rakyat Malaysia ditahan di 16 negara sebagai keldai dadah tahun ini, dengan sindiket guna media sosial dan tawaran kerja palsu untuk eksploitasi mangsa
KUALA LUMPUR: Sebanyak 55 warganegara Malaysia ditahan di luar negara dari Januari hingga September lepas kerana disyaki terlibat sebagai “keldai dadah”.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata 50 daripada mereka adalah lelaki manakala bakinya wanita.
Mereka ditahan di 16 negara termasuk Indonesia (10), Singapura (9), Kemboja (6), Taiwan (6), Thailand (5), Belgium (3), Laos (3) dan Macau (3).
Hong Kong dan Korea Selatan masing-masing menahan dua orang manakala Filipina, Jepun, Jordan, Maghribi, Myanmar dan Norway masing-masing menahan seorang.
JSJN Bukit Aman memandang serius peningkatan kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan orang awam sebagai “keldai dadah” sepanjang tahun ini.
Hasil pemantauan mendapati sindiket dadah sentiasa mencari mangsa baharu dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pekerjaan atau latar belakang.
Sindiket turut dikesan merekrut mangsa melalui media sosial dan iklan kerja palsu dengan menyasarkan golongan belia, pencari kerja, pelajar serta individu berpendapatan tidak stabil.
Mangsa dijanjikan upah lumayan antara RM1,000 hingga RM10,000 termasuk tawaran tiket penerbangan dan penginapan bagi melaksanakan kerja mudah tanpa pengalaman.
“Semua tawaran ini hanyalah umpan bagi memperdayakan mangsa membawa bagasi atau bungkusan yang sebenarnya mengandungi dadah berbahaya,” katanya.
Sindiket kini menggunakan pelbagai modus operandi termasuk menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, perabot kecil, makanan dan peralatan elektronik.
Mereka turut menggunakan perkhidmatan kurier dan kaedah body packing dalam laluan tertentu.
Destinasi utama penyeludupan ialah United Kingdom, negara Eropah tertentu dan beberapa negara Asia Timur.
Lapangan terbang serantau semakin digunakan sebagai transit untuk kegiatan ini.
Antara dadah yang lazim dibawa ialah methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi), ganja dan kokain bergantung kepada laluan serta permintaan pasaran.
Hussein menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran palsu.
Orang ramai diingatkan bahawa alasan ‘tidak tahu kandungan bagasi’ tidak diterima oleh kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah yang tegas.
Negara-negara tersebut mengenakan hukuman termasuk hukuman mati dan penjara terhadap kesalahan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya menerusi talian hotline JSJN 012-2087222. – Bernama






