AKPS rancang skim perkhidmatan tersendiri tahun depan untuk bentuk identiti profesional, budaya kerja berdisiplin dan rantaian arahan yang kukuh
PUTRAJAYA: Skim Perkhidmatan tersendiri bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka dapat direalisasikan tahun hadapan.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pewujudan skim itu akan menamatkan kebergantungan kepada pengkaderan pegawai daripada enam agensi teras.
Agensi teras tersebut ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
Mohd Shuhaily berkata skim itu akan menjadi asas kepada pembinaan budaya kerja berdisiplin, kepatuhan arahan dan berteraskan pembudayaan rantaian arahan.
“Sekiranya sudah wujud skim APKS sendiri, kita dibenarkan untuk membuat pengambilan baharu,” katanya pada sidang media berhubung pencapaian AKPS dan hala tuju 2026.
Beliau menekankan fokus akan diberikan kepada aspek menghormati arahan, disiplin dan memahami rantaian arahan.
“Ia akan dilaksanakan secara tersusun untuk mendisiplinkan dan mengubah apa yang sedang berlaku,” katanya.
Menurutnya, skim perkhidmatan tersendiri AKPS akan membolehkan agensi itu membentuk identiti profesionalnya sendiri.
Langkah itu juga memastikan setiap anggota yang dilantik sesuai dengan keperluan operasi serta nilai yang ingin diterapkan.
Beliau berkata kerajaan melalui Ketua Setiausa Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah menyokong langkah itu dan sedang berusaha ke arah tindakan.
“KSN telah mengarahkan satu mesyuarat jemaah pengoperasian diadakan setiap bulan,” katanya.
Mohd Shuhaily turut menyuarakan hasrat peribadinya untuk melihat kewujudan satu detasemen rasmi AKPS menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
“Saya secara peribadi ingin melihat 31 Ogos itu akan ada satu detasemen daripada AKPS,” katanya.
Mengulas aspek pembudayaan chain of command, beliau berkata budaya kerja sedia ada masih belum sepenuhnya bersifat tersusun.
Beliau memberi contoh arahan larangan membawa telefon ke kaunter pemeriksaan oleh pegawai imigresen yang masih gagal dipatuhi sepenuhnya.
Mohd Shuhaily menyifatkan keadaan itu sebagai tidak menghormati chain of command.
Beliau berkata perubahan dalam perkhidmatan kawalan sempadan negara adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Perubahan ini pasti berlaku. Ia tidak boleh dielakkan lagi kerana rakyat sudah meminta perubahan,” katanya.
Menurutnya, aduan datang daripada orang awam dan rakyat yang menginginkan perubahan.
“Dalam melaksanakan perubahan ini, akan ada reaksi negatif dan risiko tetapi saya bersedia mengambil risiko,” katanya. – Bernama








