PM Anwar Ibrahim kecam tindakan AS tahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro, sebut ia cabul undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan Amerika Syarikat menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya.
Beliau menyifatkan operasi ketenteraan AS di Caracas itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tindakan AS ini merupakan penggunaan kekerasan terhadap sebuah negara berdaulat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan Maduro dan isterinya Cilia Flores perlu dibebaskan dengan segera.
Beliau memberi amaran menyingkirkan ketua kerajaan melalui campur tangan luar adalah tindakan tidak wajar.
“Ia menghakis penggunaan kuasa antara negara serta menjejaskan struktur undang-undang yang menyokong tatanan antarabangsa,” jelasnya.
Anwar menekankan masa depan politik Venezuela terpulang kepada rakyat negara itu sendiri.
“Sejarah telah menunjukkan perubahan kepimpinan melalui campur tangan luar akan menyebabkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya.
Beliau menambah ini lebih memburukkan keadaan di sebuah negara yang lama bergelut dengan masalah ekonomi dan ketegangan sosial.
Anwar berkata Malaysia sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sebagai asas hubungan antara negara.
“Hubungan yang membina, dialog serta usaha meredakan ketegangan kekal sebagai pendekatan paling wajar,” tegasnya.
Pendekatan itu bagi mencapai keputusan yang melindungi dan membolehkan rakyat Venezuela merealisasikan aspirasi mereka.
Presiden AS Donald Trump berkata tentera AS telah menahan Maduro bersama isterinya pada Sabtu.
Mereka kemudiannya diterbangkan ke New York.








