Timbalan MITI Liew Chin Tong menegaskan AS tidak menuntut klausa berkaitan hak bumiputera dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat tidak pernah menuntut atau membangkitkan isu hak bumiputera sebagai klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia-AS.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata tiada keperluan untuk menyatakan pengecualian khusus berkaitan hak bumiputera dalam komitmen ART.
“MITI ingin menegaskan bahawa kerajaan MADANI sentiasa dan akan terus mempertahankan dasar bumiputera,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menambah tiada klausa dalam perjanjian itu yang memberikan keistimewaan dan hak kaum bumiputera kepada syarikat AS.
Liew turut menekankan tiada klausa dalam ART yang memerlukan liberalisasi sepenuhnya bagi sektor ekonomi sensitif.
“Isu perolehan kerajaan juga tidak termasuk dalam skop komitmen ART,” katanya.
Beliau berkata ART tidak menetapkan halangan untuk Malaysia menyertai mana-mana blok perdagangan serantau seperti BRICS.
“Perjanjian ini tidak menghalang Malaysia untuk memasuki apa-apa blok dan dasar kerajaan ialah kita tidak berpihak kepada AS, kita juga tidak berpihak kepada China,” ujarnya.
Liew menjelaskan dasar Malaysia ialah neutral dan berada di tengah-tengah antara keperluan pasaran AS dan perdagangan dengan China.
Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan ART dan membincangkan isu berbangkit dalam mesyuarat jawatankuasa bersama.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh MITI dan wakil perdagangan AS selepas perjanjian berkuat kuasa.
“Ini bagi memastikan ia selaras dengan kepentingan negara,” katanya. – Bernama







