Sepasang bakal pengantin, seorang guru dan pekerja kantin, maut selepas SUV mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 60 meter di Hulu Terengganu.
KUALA BERANG: Sepasang bakal pengantin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa lelaki, Hassan Shazali, 52, dari Kota Bharu, bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Lebir, Gua Musang.
Pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang, bekerja di kantin sekolah yang sama.
Pasangan itu dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
Polis menerima panggilan orang awam mengenai sebuah SUV Toyota Fortuner yang terbabas ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang melalui jalan yang ditutup akibat tanah runtuh.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.







