Monday, October 27, 2025
29.4 C
Malaysia
spot_img

Banjir Sabah dan Kedah meningkat, Perak dan Pulau Pinang pulih

The Sun Webdesk

Mangsa banjir di Sabah dan Kedah meningkat pagi ini dengan 44 mangsa di Sipitang dan 1,281 mangsa di enam daerah Kedah dipindahkan

KUALA LUMPUR: Sabah kembali dilanda banjir manakala jumlah mangsa banjir di Kedah kembali meningkat pagi ini berbanding keadaan di Perak dan Pulau Pinang yang beransur pulih.

Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan sebanyak 44 mangsa daripada 16 keluarga di Sipitang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Dewan Mini Mesapol.

Sebanyak lima kampung terjejas akibat banjir yang melanda lewat petang semalam dan penduduk dipindahkan sejak tengah malam tadi.

Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa banjir kembali meningkat dengan Kota Setar menjadi daerah terbaru dilanda bencana itu.

JPBN Kedah memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 1,281 orang daripada 372 keluarga pagi ini berbanding 1,169 orang daripada 329 keluarga malam tadi.

Kesemua mangsa dari enam daerah iaitu Kota Setar, Kulim, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Padang Terap ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara.

Di Kota Setar, 225 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Aman yang dibuka pada 9.30 malam tadi.

Kulim kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 554 orang daripada 163 keluarga di empat pusat pemindahan sementara.

Pendang merekodkan 330 orang daripada 90 keluarga di dua pusat pemindahan sementara manakala Pokok Sena mempunyai 136 mangsa daripada 39 keluarga di sebuah pusat pemindahan sementara.

Sebuah pusat pemindahan sementara di Kubang Pasu menempatkan 23 mangsa daripada 11 keluarga manakala di Padang Terap, 13 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara.

Laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan tiga sungai di Kedah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang, Sungai Titi Kerbau di Pendang dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu.

Di Pulau Pinang, situasi banjir semakin pulih dengan mangsa banjir merekodkan penurunan kepada 411 orang daripada 108 keluarga pagi ini.

Berdasarkan kemas kini di laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 7.20 pagi ini, 392 mangsa berada di empat pusat pemindahan sementara di daerah Seberang Perai Utara.

Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi menempatkan 154 mangsa daripada 41 keluarga manakala pusat penempatan banjir Labuh Banting menempatkan 114 mangsa daripada 31 keluarga.

Sekolah Kebangsaan Padang Menora pula menempatkan 78 mangsa daripada 21 keluarga dan 46 mangsa daripada sembilan keluarga lagi di Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang.

Sembilan belas mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu yang merupakan satu-satunya pusat pemindahan sementara masih beroperasi di daerah Seberang Perai Tengah.

Di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini terus berkurang kepada 1,129 orang daripada 362 keluarga berbanding 1,158 orang daripada 375 keluarga malam tadi.

Mangsa banjir di Perak ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara melibatkan empat daerah.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan Larut, Matang dan Selama merekodkan 361 orang daripada 113 keluarga berlindung di Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang, Sekolah Kebangsaan Matang dan Surau Al-Hidayah Pondok Quint Batu 13.

Di Manjung, lima pusat pemindahan sementara masih beroperasi di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Sekolah Kebangsaan Beruas, Sekolah Kebangsaan Pantai Remis dan Sekolah Kebangsaan Gangga.

Pusat pemindahan sementara di Manjung menempatkan 510 mangsa daripada 172 keluarga.

Jumlah mangsa di sebuah pusat pemindahan sementara di Perak Tengah kekal 110 orang daripada 31 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, Parit.

Di Kerian masih menempatkan 148 orang daripada 46 keluarga di dua pusat pemindahan sementara iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Jockey Club Multiple Pathways Initiative – CLAP-TECH Pathway, Led by HKBU, Releases Report Highlighting the Importance of Vocational and Professional Education and Training in...

Led by HKBU and funded by The Hong Kong Jockey Club Charities Trust, the CLAP-TECH initiative showcases how Vocational and Professional Education and Training (VPET) empowers secondary students with practical skills, diverse pathways, and stronger career readiness.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img