Bekas jurutera mengaku bersalah cuba guna 359 keping wang palsu RM50 di kedai emas dan cuba curi rantai tangan RM29,000 di mahkamah berasingan.
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas bulan lepas.
Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, didakwa cuba menggunakan 359 keping wang kertas RM50 palsu sebagai tulen di sebuah kedai emas di Chabang Tiga pada 18 Dis lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad menawarkan jaminan RM20,000, namun peguam tertuduh memohon jaminan minimum.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menetapkan 19 Jan ini untuk fakta kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Sementara itu, Ahmad Faisal turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba mencuri rantai tangan bernilai RM29,000 di sebuah kedai emas di Paka, Dungun pada 25 Dis lepas.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membenarkan Ahmad Faisal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 19 Jan ini untuk fakta kes dan jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun.








