Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berikrar terus sokong agenda MADANI dan dasar reformasi kerajaan selepas digugurkan kabinet.
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada agenda MADANI serta dasar-dasar reformasi kerajaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin portfolio Wilayah Persekutuan sebelum ini.
“Saya percaya setiap keputusan Perdana Menteri diambil dengan pertimbangan rapi, berlandaskan kepentingan negara,” kata Dr Zaliha dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan Jemaah Menteri baharu yang diumumkan hari ini.
Dr Zaliha juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensi di bawahnya atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.
Beliau berkata dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat.
Ini termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.
Melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI), beliau berkata Kerajaan MADANI di Wilayah Persekutuan telah berjaya menoktahkan miskin tegar.
“Ini membuktikan pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan.
Inisiatif tersebut termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok.
Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu.
Beliau berharap Hannah Yeoh dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
Selain Dr Zaliha, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga digugurkan daripada barisan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini. – Bernama







