the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, February 5, 2026
21 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Bekas setiausaha politik minta RM19 juta lump sum untuk tender PDRM

Mahkamah diberitahu bekas setiausaha politik minta RM19 juta lump sum daripada syarikat yang dapat tender PDRM RM381 juta, sebelum bayaran berperingkat.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa bekas setiausaha politik meminta bayaran ‘lump sum’ RM19 juta daripada sebuah syarikat yang memperoleh tender PDRM.

Ketua Pegawai Operasi Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB) Azman Kamaruddin berkata permintaan itu dibuat oleh Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad.

Beliau merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Azman berkata Pengarah Urusan NSB Wan Azhar Mohamed Yusof memaklumkan permintaan ‘portion’ lima peratus daripada nilai projek tender RM381 juta itu.

“Wan Azhar turut maklumkan kepada saya bahawa tujuan pembayaran ‘portion’ lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir adalah kerana syarikat NSB telah memperoleh projek tender tersebut,” katanya.

Projek itu adalah Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM.

Azman berkata beliau tidak tahu saluran pembayaran lima peratus itu.

Pada mulanya, permintaan adalah untuk bayaran ‘lump sum’ RM19 juta selepas tiga atau empat bulan dari tarikh Surat Setuju Terima.

“Namun, Wan Azhar tidak setuju untuk membuat bayaran secara ‘lump sum’ kerana syarikat NSB tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.

Oleh itu, Wan Azhar mencadangkan untuk membayar secara berperingkat.

Azman percaya Sayed Amir Muzzakkir membantu syarikat NSB mendapatkan tender projek tersebut.

“Saya percaya bahawa Sayed Amir Muzzakkir yang membantu syarikat NSB untuk mendapatkan tender projek tersebut kerana dia merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu,” katanya.

Beliau hanya dimaklumkan pembayaran telah dibuat tetapi tidak tahu secara terperinci.

“Saya sahkan bahawa hanya Wan Azhar yang menandatangani cek atau meluluskan bayaran ‘online’ untuk pembayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir,” katanya.

Azman merupakan saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir.

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar.

Wang itu didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender bernilai RM381,112,042.44.

Dia juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan yang serupa.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, hukuman adalah penjara maksimum 20 tahun dan denda berat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related

spot_img

Latest

‘Protect local MSME amid foreign influx’

The Malaysian Employers Federation calls for urgent action to level the playing field for local businesses, emphasising fair enforcement and stronger local content policies.

Most Viewed

Malaysia’s fiscal deficit reporting meets global standards

Finance Minister II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan asserts the nation's fiscal deficit is calculated using internationally recognised frameworks, ensuring transparency and credibility.
spot_img

Popular Categories