Pelakon Shaheizy Sam gambarkan Bung Moktar sebagai individu baik dan lembut bersama keluarga, berbeza dengan persona lantang di Parlimen
KOTA KINABALU: Pelakon Shaheizy Sam Abdul Samad menyifatkan mendiang Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai individu yang sangat baik kepada masyarakat setempat dan keluarganya.
Beliau berkata personaliti Ahli Parlimen Kinabatangan itu semasa bersama keluarga dan penduduk di kawasan diwakilinya amat berbeza daripada sikap agresif serta lantang yang sering ditonjolkan di Parlimen.
“Kalau di rumah beliau sangat berbeza. Hendak mendengar beliau meninggi suara atau marah memang tidak pernah. Beliau sangat lembut dengan anak.
“Bila bekerja di Parlimen, beliau orang yang berbeza. Setiap kali balik kawasan, beliau tidak pernah berkata tidak boleh jika ada yang hendak berjumpa,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Shaheizy Sam memaklumkan mereka sekeluarga mengetahui kesihatan Allahyarham semakin merosot semalam, sebelum kakaknya Datin Seri Zizie Izzate memaklumkan berita pemergian suami pada awal pagi tadi.
Beliau berkata menjadi kelazimannya untuk membantu kempen abang iparnya setiap kali pilihan raya dan Allahyarham kelihatan kurang sihat sejak tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 baru-baru ini.
“Masa hari terakhir berkempen, beliau nampak tak ada tenaga dan penat, tidak seperti dulu,” katanya.
Shaheizy Sam berkata Allahyarham sering menasihatkannya sentiasa mengutamakan ibu jika ingin berjaya.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah dilakukan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.
Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 November. – Bernama







