PM lancar Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi perkukuh keselamatan, pulih keyakinan sektor dan bangunkan keupayaan industri tempatan.
KUALA LUMPUR: Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini merupakan langkah baharu bagi memperkukuh keselamatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar itu bertujuan memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan dan membina keupayaan industri tempatan yang berwibawa serta berintegriti.
Beliau berkata dasar yang lama tertangguh itu kini dilaksanakan selaras dengan tuntutan masa dan keperluan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dasar industri pertahanan ini memang lama tertangguh, dan saya kira sesuai dengan tuntutan masa serta menenggelami kemelut yang membadai Angkatan Tentera Malaysia baru-baru ini,” katanya pada majlis pelancaran DIPN.
Anwar berkata DIPN digerak berasaskan empat tonggak utama merangkumi pengukuhan tadbir urus dan institusi.
Tonggak kedua ialah pembangunan keupayaan teknologi termasuk melalui pelaksanaan Program Kolaborasi Industri.
Tonggak ketiga melibatkan pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan pertahanan tempatan yang menuntut pembinaan kemandirian teknologi.
“Kerana ekosistem itu menuntut kita bukan sahaja membeli tetapi juga menyediakan kemandirian teknologi tempatan, pemerkasaan rangkaian bekalan tempatan dan pengkomersialan R&D,” katanya.
Tonggak keempat ialah peningkatan daya saing global dan eksport, dengan sasaran Malaysia mula mengeksport hasil industri pertahanannya.
“Kalau ada keupayaan dalaman yang cekap dan baik, kita harus bergerak supaya meningkatkan daya saing global dan mula mengeksport hasil kita,” katanya.
Anwar menekankan pelaksanaan DIPN mesti berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik khususnya dalam menangani isu rasuah dan penyelewengan.
Beliau menegaskan segelintir isu yang masih dalam siasatan tidak harus mencoreng keseluruhan imej ATM.
“Jadi, saya ingin menjelaskan bahawa integriti, iltizam, semangat dan daya tahan anggota tidak harus terjejas kerana majoriti besar tahu tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berkata DIPN bukan sahaja bertujuan membina keupayaan industri malah memberi harapan baharu kepada negara.
Anwar memberi jaminan sokongan penuh seluruh Jemaah Menteri terhadap pelaksanaan dasar itu.
“Seluruh Jemaah Menteri adalah bersama untuk perbaiki serta angkat semula peranan keupayaan dan juga melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara, itu jaminan saya,” katanya.








