KUALA LUMPUR: Perayaan Deepavali atau Pesta Cahaya disambut meriah di seluruh negara hari ini dengan penganut agama Hindu membanjiri kuil seawal pagi bagi melaksanakan upacara keagamaan dan memanjatkan doa kesejahteraan.
Suasana perayaan turut diserikan dengan kediaman yang dihiasi kolam berwarna-warni, nyalaan pelita serta kunjungan sanak saudara dan sahabat handai daripada pelbagai kaum.
Tinjauan Bernama di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves mendapati ribuan penganut Hindu membanjiri kuil berkenaan seawal 6 pagi bagi menunaikan upacara keagamaan dengan membawa persembahan seperti buah-buahan dan bunga kepada dewa-dewi.
Seorang penganut, K. Monissha, 26, dari Subang Jaya berkata sambutan Deepavali tahun ini cukup bermakna kerana merupakan perayaan pertamanya bersama suami selepas melangsungkan perkahwinan Disember lepas.
Beliau yang bertugas sebagai eksekutif perolehan berkata menurut tradisi masyarakat India, sambutan Deepavali pertama selepas perkahwinan diraikan di rumah keluarga pengantin perempuan dengan pelbagai juadah, pemberian sari serta angpau kepada ahli keluarga.
Seorang lagi pengunjung, M. Mathesha, 26, eksekutif sumber manusia dari Selayang berkata beliau bersyukur dapat menyambut Deepavali bersama semua adik-beradiknya tahun ini selepas beberapa tahun terhalang oleh komitmen kerja.
Selain penganut Hindu, pelancong asing juga tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan itu di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves yang dibanjiri ribuan penganut sejak awal pagi.
Natasya Praskila, 22, pelancong dari Medan, Indonesia berkata ini kali pertama beliau menyaksikan Pesta Cahaya di Malaysia dan memilih Batu Caves selepas membuat carian di Google.
Di Kedah, kakitangan swasta S. Hemananthini, 32 yang teruja menyambut perayaan itu bangun seawal 6 pagi untuk menyediakan juadah istimewa sebelum bersiap ke Kuil Sri Siva Muniswarar Alayam, Kulim bagi menunaikan upacara sembahyang.
Bagi N. Darsyini, 41 yang ditemui di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di Alor Setar, sambutan Deepavali tahun ini lebih meriah apabila empat adik-beradiknya yang tinggal di luar Kedah pulang beraya di rumahnya di Taman Bersatu.
Sementara di Selangor, akauntan syarikat swasta R. Visalini, 26 mengharapkan sambutan Pesta Cahaya kali ini dipenuhi dengan kebahagiaan serta peluang untuk menikmati masakan air tangan ibunya dan menziarahi ahli keluarga.
Di Kelantan, meskipun penganut Hindu merupakan golongan minoriti, sambutan Deepavali tetap meriah dengan pelajar Universiti Malaysia Kelantan R. Sriraam, 22 dari Batu Kawan, Pulau Pinang menyatakan pengalaman pertama menyambut perayaan itu di negeri berkenaan cukup bermakna.
Menggayakan busana tradisional baharu, punjabi dan sari, M. Kanikum, 79 dari Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu, Tumpat turut gembira apabila semua anak dan cucunya pulang beraya di rumah selain menerima kunjungan tetamu pelbagai kaum.
Begitu juga di Terengganu, kemeriahan sambutan perayaan itu tetap meriah dengan Kuil Sri Kailasa Nathar Alayam menjadi tumpuan penganut agama itu menunaikan upacara keagamaan.
Di Negeri Sembilan, kuil tertua di negeri itu, Sri Bala Thandayuthapani di Jalan Yam Tuan, Seremban menjadi tumpuan kira-kira 5,000 penganut Hindu sejak awal pagi tadi.
Di Perlis, Bendahari Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam, Kangar, M. Ashok Kumar berkata kuil berkenaan turut menyediakan makanan percuma kepada mereka yang datang bersembahyang di situ hari ini.
Di Johor, kuil berusia 114 tahun, Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Jalan Ungku Puan bukan sahaja menjadi tumpuan kira-kira 3,000 penganut hindu seawal 6 pagi tetapi turut dihadiri pelancong asing yang ingin menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan serta menyelami adat dan budaya masyarakat India.
Sementara di Pahang, suasana di Kuil Sri Mariamman, Jalan Seri Kemunting, Kuantan meriah dengan kehadiran penganut Hindu, manakala di Melaka, ratusan penganut Hindu membanjiri Kuil Sri Muthu Mariamman, Bukit Beruang seawal 7 pagi.
Di Perak, dianggarkan 10,000 penganut Hindu mengunjungi Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh seawal 6 pagi bagi menyempurnakan upacara keagamaan, selain menarik kehadiran pelancong asing dan kaum lain yang turut merasai kemeriahan sambutan Deepavali.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di Facebook menzahirkan harapan agar sambutan Deepavali membawa sinar kegembiraan, kasih sayang dan kedamaian kepada semua yang meraikannya.
Di Pulau Pinang, hujan pada awal pagi tidak menghalang penganut Hindu meraikan Deepavali dengan mengunjungi Kuil Muniswarar Jalan Baru dan Kuil Arulmigu Karumariamman Seberang Jaya di Butterworth bagi melaksanakan upacara keagamaan.
Tinjauan mendapati suasana penuh warna-warni dengan kehadiran keluarga berpakaian tradisional India membawa bunga, susu serta dulang persembahan sebagai tanda kesyukuran sempena perayaan cahaya itu.
Pekerja swasta L. Govind Raj, 33 berkata Deepavali menjadi waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengekalkan tradisi turun-temurun, malah sambutan tahun ini lebih bermakna apabila empat adik-beradiknya dapat berkumpul meraikannya bersama keluarga.
Di Sabah, kira-kira 1,000 penganut Hindu menghadiri Kuil Sri Pasupathinath Alayam seawal 8 pagi, dan menurut presidennya Datuk Dr K. Mathavan, sambutan lebih meriah dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum. – Bernama







