ADUN Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh umumkan peletakan jawatan Exco Melaka berkuat kuasa minggu depan selepas perbincangan dengan pimpinan
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
Beliau berkata keputusan itu berkuat kuasa mulai minggu depan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dr Muhamad Akmal berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai Exco berkuat kuasa minggu depan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beliau memberi bayangan untuk berundur daripada jawatannya.
Gesaan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan sebelum itu mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.








