Tuesday, October 28, 2025
30.3 C
Malaysia
spot_img

Dua beranak maut, tiga cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Johor

The Sun Webdesk

Ibu dan anak lelaki maut, tiga cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Simpang Renggam.

JOHOR BAHRU: Seorang ibu dan anak lelakinya maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 65 Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam.

Kemalangan berlaku kira-kira 5.30 petang semalam berhampiran Simpang Renggam melibatkan Perodua Kancil, van kilang Mazda dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata siasatan awal mendapati Perodua Kancil dipandu wanita 51 tahun bersama dua anak lelakinya berhenti untuk membelok ke simpang kanan.

“Van kilang yang dipandu lelaki 53 tahun dari arah sama dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya.

Akibat pelanggaran itu, Perodua Kancil terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar Toyota Hilux dipandu lelaki 62 tahun.

Van itu turut melanggar kenderaan pacuan empat roda tersebut.

Pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan anak lelakinya 15 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Penumpang belakang berusia sembilan tahun cedera parah di kepala dan kaki kiri.

Pemandu van kilang mengalami kecederaan di muka, dada dan kaki kanan manakala pemandu pacuan empat roda cedera ringan.

Semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk rawatan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenal pasti dua mangsa maut sebagai Rulijah Ahmad, 51 dan Salam Norazli, 15.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM.

Penumpang kereta Perodua Kancil Osama Norazli, 9 mengalami kecederaan manakala pemandu van kilang B Chandran, 53 turut cedera.

Pemandu Toyota Hilux dibawa orang awam ke klinik berhampiran sebelum pasukan penyelamat tiba.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Boy stable after neck slash in Batu Pahat home

A six-year-old boy is stable after surgery for a neck slash wound discovered by his mother at their Parit Raja home.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img