Tujuh anggota polis Pahang termasuk dua pegawai ditahan dalam serbuan di Mentakab, dengan enam daripadanya disahkan positif dadah dalam ujian saringan.
KUANTAN: Dua pegawai dan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah kedai di Mentakab.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan tangkapan itu berlaku pada 2.15 pagi.
“Saya mengesahkan tangkapan itu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah,” katanya.
Beliau berkata kesemua anggota dan pegawai lelaki itu berusia lingkungan 20 hingga 40-an.
Mereka kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
Yahaya menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku.
Beliau menambah sekiranya didapati bersalah, penyelia mereka juga akan dikenakan tindakan.
Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu dua wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan.
Dua pegawai yang ditahan berpangkat Inspektor manakala lima anggotanya berpangkat Koperal dan Lans Koperal.








