Imigresen selamatkan dua wanita Indonesia mangsa eksploitasi buruh paksa di Selangor, kes disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang
PUTRAJAYA: Dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa serta pemerdagangan orang berjaya diselamatkan dalam operasi berasingan di Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam serbuan pertama pada 6 Januari, seorang wanita warga tempatan berumur 38 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ejen ditahan di Kapar.
Seorang wanita Indonesia berumur 45 tahun berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa memiliki pas lawatan sosial yang masih sah namun telah dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa turut dibebani hutang kos perjalanan sebanyak RM3,000 yang perlu dilunaskan melalui pemotongan gaji bulanan.
Zakaria berkata modus operandi sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah melalui aplikasi WhatsApp.
Sindiket itu mengenakan bayaran RM8,000 kepada majikan dan menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,500 kepada pekerja.
Dalam operasi kedua pada 12 Januari, seorang lagi wanita Indonesia berumur 54 tahun diselamatkan di sebuah kediaman di Bukit Jelutong.
Mangsa dipercayai telah bekerja hampir sebulan selepas diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.
“Mangsa dipaksa bekerja melebihi tempoh masa yang ditetapkan manakala pasport dan telefon bimbit mangsa dipegang oleh pihak sindiket, menyebabkan mangsa terputus hubungan dengan ahli keluarga,” katanya.
Zakaria berkata mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta pergerakan yang dikawal ketat.
Seorang wanita warga tempatan yang juga pemilik premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0.
Kes itu disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.








