Enam projek Rancangan Tebatan Banjir berkeutamaan tinggi di seluruh negara lewat jadual setakat Disember 2025, dengan isu pengambilan tanah antara penyebabnya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenal pasti enam projek Rancangan Tebatan Banjir berkeutamaan tinggi mengalami kelewatan jadual setakat Disember 2025.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata isu pengambilan balik tanah dan pencerobohan antara punca utama kelewatan.
Enam projek itu ialah RTB Sungai Solok, RTB Likas, RTB Baling Fasa 2, RTB Sungai Maran, RTB Sungai Klang Seksyen 25 dan RTB Sungai Damansara.
Beliau berkata sebanyak 37 projek lain masih dalam pelaksanaan mengikut jadual.
“Kelewatan pelaksanaan projek RTB turut berpunca daripada keperluan pengalihan utiliti sedia ada serta kelewatan kelulusan teknikal yang melibatkan pelbagai agensi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Fadillah yang juga Menteri PETRA berkata faktor cuaca ekstrem dan kejadian banjir luar biasa turut memberi kesan ketara terhadap kemajuan kerja di tapak.
Beliau berkata kementerian memandang serius perkara ini dan telah mengambil langkah penambahbaikan.
Langkah itu termasuk pengukuhan tadbir urus pelaksanaan projek serta pemantauan kemajuan secara lebih rapi.
Kementerian turut memperketat penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan.
Penyelarasan lebih intensif bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan juga dilaksanakan bagi mempercepat proses kelulusan.
Sementara menunggu projek RTB disiapkan, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran mengutamakan langkah mitigasi segera jangka pendek.
Langkah itu dilaksanakan menerusi Projek Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir.
“Langkah itu merangkumi kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan,” jelasnya.
Bagi tempoh 2022 hingga 2025, peruntukan berjumlah RM556.6 juta telah disalurkan ke seluruh negara untuk kerja kecil berkenaan.
Kerajaan juga menubuhkan pasukan petugas melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta agensi berkaitan.
Fadillah berkata pasukan itu bertujuan menyelesaikan segera isu di lapangan yang menjadi punca kelewatan projek RTB.
Isu itu termasuk masalah reka bentuk oleh konsultan, pengambilan tanah serta pengalihan utiliti seperti kabel elektrik dan paip air.
Beliau berkata Johor antara negeri terawal menubuhkan pasukan petugas seumpama itu.
Pendekatan berkenaan telah diperluas ke negeri lain sebagai mekanisme penyelarasan perancangan dan pemantauan.








