the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 14, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Felcra sedia beri kerjasama penuh kepada SPRM berhubung perolehan ladang

Felcra sedia bekerjasama dengan SPRM jika disiasat berhubung perolehan ladang sawit di Kelantan dan Sabah, kata pengerusinya

MACHANG: Felcra Berhad sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya siasatan dijalankan berhubung perolehan pajakan ladang sawit di Kelantan dan Sabah.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata setakat ini SPRM belum menghubunginya atau meminta sebarang penjelasan berhubung perkara itu.

Beliau yakin badan itu akan menjalankan siasatan secara berhemah mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Saya melihat SPRM sebagai sebuah badan yang cukup berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Bukit Tiu di sini.

Ahmad Jazlan berkata setiap perkara berkaitan pelaburan itu diputuskan oleh Lembaga Pengarah Felcra.

Beliau berkata jika terdapat perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati atau keraguan, sudah tentu semua pihak akan dipanggil oleh SPRM untuk memberi penerangan.

Sementara itu, Ahmad Jazlan menjelaskan penambahan aset dalam bentuk ladang merupakan keputusan Lembaga Pengarah Felcra menerusi Transformasi 1.0 yang diputuskan pada 2022.

Keputusan itu bagi memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat itu.

Beliau berkata kali terakhir Felcra membuat perolehan atau pembelian ladang adalah pada sekitar 2013.

“Namun kita sedar kekangan kewangan tidak memungkinkan penambahan seluas itu, memandangkan kedudukan kewangan Felcra sendiri yang sedang ke arah pemulihan,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata setiap perolehan yang dibuat tidak melibatkan pinjaman daripada pihak bank atau kerajaan.

Sebaliknya, syarikat itu menggunakan sumber dalaman atau perbelanjaan modal Felcra Berhad hasil keuntungan dalam bidang komersial.

Beliau berkata perolehan ladang yang dibuat adalah berdasarkan harga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Kebanyakan pembelian dilakukan di bawah harga JPPH.

Pada 5 Dis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjawab soalan berhubung jika terdapat kertas siasatan SPRM dibuka terhadap laporan Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Julai lepas mendedahkan pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus.

Isu itu membabitkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan dengan nilai keseluruhan projek diaudit mencecah RM48.87 bilion. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories