Feri dengan 246 penumpang dan 21 anak kapal terkandas berhampiran Pulau Jangsan, bot peronda dihantar untuk penilaian kecederaan dan kerosakan
SEOUL: Sebuah feri yang membawa 267 orang terkandas di perairan barat daya Korea Selatan pada Rabu, menurut Pengawal Pantai, ketika bot peronda digerakkan untuk menilai kemungkinan kecederaan dan kerosakan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kejadian itu berlaku sekitar 8.17 malam berhampiran Pulau Jangsan di Daerah Sinan, kira-kira 366 kilometer di selatan Seoul.
Menurut Pengawal Pantai, feri berkenaan dalam perjalanan ke bandar pelabuhan Mokpo selepas berlepas dari pulau peranginan Jeju, membawa 246 penumpang dan 21 anak kapal.
Laporan awal menyatakan feri itu mungkin melanggar batu tenggelam ketika belayar dekat Pulau Jangsan, menyebabkan ia terkandas.
Bot peronda Pengawal Pantai telah dihantar ke lokasi bagi menentukan tahap kecederaan atau kerosakan. – Bernama -Yonhap







