FIFA kekalkan hukuman FAM dan 7 pemain warisan kes pemalsuan dokumen, FAM didenda RM1.8 juta, pemain digantung 12 bulan.
KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menegaskan kesalahan pemalsuan dokumen dalam kes melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan menjejaskan asas integriti bola sepak.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengeluarkan dokumen 63 muka surat yang menekankan kelayakan pemain untuk pasukan kebangsaan melibatkan prinsip asas melindungi kredibiliti pertandingan antarabangsa.
“Sebarang cubaan memalsukan dokumen dengan tujuan memperdaya badan pengelola dan mengelak daripada peraturan yang berkuat kuasa merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip ini,” menurut kenyataan FIFA.
Tindakan sedemikian merosakkan keadilan permainan dan menghakis keyakinan awam serta tidak boleh diterima dalam apa-apa jua keadaan.
Jawatankuasa FIFA memutuskan tiada asas untuk membatalkan keputusan rayuan dan semua rayuan pemohon ditolak sepenuhnya.
Jawatankuasa juga memaklumkan kos prosiding akan ditanggung pemohon secara sama rata selaras dengan Perkara 49 Kod Tatatertib FIFA.
Pada 3 November lalu, FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen.
FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000) dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan. – Bernama
BACA:






