Ketua Menteri Sabah yakin kabinet baharu mampu laksanakan Pelan SMJ 2.0 dan bawa kemajuan cemerlang untuk negeri
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yakin Jemaah Menteri baharu yang dilantik berupaya memacu kemajuan negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau merakamkan tahniah kepada semua menteri yang mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Hajiji mengingatkan bahawa amanah itu membawa tanggungjawab besar dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Tanggungjawab ini besar maknanya dan saya berharap agar anda memikul amanah ini dengan dedikasi yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyeru agar mereka berkhidmat kepada rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan melaksanakan tugas dengan penuh integriti.
“Saya yakin dan percaya ahli Jemaah Menteri mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk memimpin di kementerian masing-masing.”
Teks kenyataan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya.
Joachim yang juga Pemangku Presiden PBS mengesahkan Kerajaan Sabah yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah sebuah Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mengesahkan pembabitan secara rasmi Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Sabah baharu.
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) belum mengesahkan penyertaan mereka dalam kerajaan.
Sebanyak 10 anggota Kabinet Sabah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Semua yang mengangkat sumpah terdiri daripada tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Masing-masing satu ADUN Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut mengangkat sumpah.
Pada PRN ke-17, GRS yang dipimpin oleh Hajiji berjaya memenangi 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Parti Warisan (Warisan) pula mendapat 25 kerusi diikuti Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga) dan Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR (dua).
Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.
Kabinet baharu diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya dan Utiliti ialah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS).
Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Masidi Manjun (GRS).
Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan ialah Datuk Ewon Benedick (UPKO).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ialah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (GRS).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan ialah Datuk Jamawi Jaafar (PH).
Menteri Pembangunan Luar Bandar ialah Datuk Rubin Balang (GRS).
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi ialah Datuk James Ratib (GRS).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ialah Datuk Jafry Ariffin (BN).
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat ialah Datuk Julita Mojungki (GRS).
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif ialah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS). – Bernama







