JAIS siasat pengendali akaun Facebook masjid di Rawang selepas dakwaan kandungan berunsur politik, bertentangan titah Sultan Selangor.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat pengendali akaun Facebook sebuah masjid di Rawang.
Siasatan itu susulan dakwaan laman media sosial rasmi rumah ibadat tersebut mempunyai kandungan berunsur parti politik.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata perkara itu bertentangan dengan hasrat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda menitahkan agar setiap masjid dan surau di negeri itu bebas daripada pengaruh politik kepartian.
“Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS tegas dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Titah itu bagi memastikan masjid dan surau kekal sebagai institusi berkecuali dan zon aman untuk beribadah.
Shahzihan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Siasatan juga merujuk Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017.
Peruntukan itu membawa hukuman denda, penjara atau pemecatan jawatan ahli pengurusan masjid.
Beliau menyeru umat Islam membina kekuatan dengan menjadikan masjid sebagai pusat persepakatan.
“Berbezalah untuk memberikan nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan menyucikan hati,” katanya.
Beliau menegaskan agar mengelak perbezaan yang menanam perasaan hasad dan kebencian.








