JKDM laksanakan pusingan kerja semua anggota di KLIA bagi perkukuh integriti, termasuk ujian dadah, kamera badan dan polisi whistleblower.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaksanakan pusingan kerja secara menyeluruh melibatkan semua anggotanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad berkata langkah itu adalah untuk memperkukuh integriti dan memastikan budaya kerja telus.
Beliau berkata ia sebahagian usaha jabatan memelihara akauntabiliti dan disiplin pegawai serta menangani cabaran rasuah dan sindiket antarabangsa.
JKDM juga memperkasakan polisi perlindungan pemberi maklumat (whistleblower) bagi memastikan identiti individu yang melapor salah laku terpelihara.
“Langkah lain termasuk pelaksanaan ujian air kencing secara berkala bagi memastikan pegawai bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam program Jendela Fikir di Bernama Radio.
Beliau berkata ketagihan bahan terlarang dikenal pasti sebagai punca yang boleh meruntuhkan integriti seseorang pegawai.
“Penggunaan kamera badan dalam kalangan pegawai operasi di lapangan terbang juga menunjukkan impak positif,” katanya.
Zulkifli berkata statistik aduan daripada penumpang dan masyarakat didapati semakin menurun ekoran langkah itu.
Mengulas mekanisme pemantauan, beliau menekankan keberkesanan inisiatif lawatan mengejut yang diterajui Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
“Lawatan mengejut ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan awal,” katanya.
Beliau memaklumkan Ketua Pengarah telah melakukan 88 lawatan ke pelbagai stesen JKDM setakat ini.
Zulkifli turut memaklumkan sambutan Hari Kastam Sedunia 2026 pada 26 Januari di Cyber Hall Event, Cyberjaya akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) pada tahun ini mengangkat tema ‘Kastam Melindungi Masyarakat Melalui Kewaspadaan dan Komitmen’.
Tema itu mencerminkan peranan jabatan yang semakin luas dan mencabar dalam mendepani landskap perdagangan global.








