Saturday, November 8, 2025
28.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Johor tarik pelaburan RM10 bilion dari China untuk industri halal

The Sun Webdesk

Johor raih RM10 bilion pelaburan dari Shandong Huifa Foodstuff, jangka nilai eksport RM100 bilion selaras Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030.

JOHOR BAHRU: Johor berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi bernilai RM10 bilion daripada Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd, sebuah syarikat dari China serta peneraju industri makanan dan halal. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata pelaburan itu merangkumi sektor strategik seperti makanan sejuk beku, farmaseutikal dan nutraseutikal, fesyen serta bahan ramuan dan perkhidmatan pelancongan berasaskan halal. 

Beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata projek berkenaan dijangka menjana nilai eksport sekurang-kurangnya RM100 bilion (USD25 bilion) dan dilaksanakan selaras dengan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Alhamdulillah, misi pelaburan dan perdagangan Kerajaan Negeri Johor ke China telah mencatat satu lagi kejayaan besar dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara PIJ Halal Ventures Sdn Bhd dan Huifa Food Supply Chain Technology Co. Ltd.

“Langkah strategik ini memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab utama halal ASEAN, membuka ruang pelaburan baharu, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pemindahan teknologi, yang akan mempercepatkan transformasi ekonomi menjadi sebuah negeri maju sebagaimana hasrat dan pacuan pembangunan yang digagaskan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.

Majlis pertukaran dokumen MoU itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025, platform penting yang memperkukuh hubungan perdagangan halal antara Malaysia dan China.

Mohd Fared berkata Johor akan terus melangkah yakin ke hadapan dalam memacu agenda halal global dan membawa manfaat nyata kepada rakyat serta Johor. 

“Terima kasih atas komitmen tinggi Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Nasri Md Ali, Pengerusi PIJ Halal Ventures Rozamusliadi Roslan serta Pengerusi Shandong Huifa Hui Zengyu dan semua yang menjayakan usaha kecil memperkasakan syiar Islam menerusi agenda halal ini,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img