Thursday, October 30, 2025
29.3 C
Malaysia
spot_img

Kadar kemiskinan tegar turun ke 0.09% dengan bantuan RM20 bilion

The Sun Webdesk

Kerajaan salur hampir RM20 bilion bantuan tahun ini, berjaya turunkan kadar kemiskinan tegar negara kepada hanya 0.09 peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyalurkan hampir RM20 bilion bagi melaksanakan pelbagai program bantuan untuk golongan berpendapatan rendah tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu membantu menurunkan kadar kemiskinan tegar negara kepada hanya 0.09 peratus.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sokongan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri juga menyumbang kepada kejayaan ini.

“Daripada senarai yang dimasukkan, baki 0.09 peratus itu adalah kategori kemiskinan tegar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar menjelaskan bahawa angka awal tahun itu kini telah diselesaikan semua kes dalam senarai berkenaan.

“Bukan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja tetapi juga dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.”

Beliau menekankan bahawa berdasarkan data e-Kasih, bilangan isi rumah miskin tegar telah berkurangan.

“Kita mempunyai keupayaan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.

Anwar menekankan usaha menghapuskan kemiskinan tegar melibatkan kerjasama rapat kerajaan negeri termasuk di Kelantan dan Kedah.

Beliau berkata kerjasama ini khususnya bagi menambah baik proses pengesanan serta penyelarasan bantuan kepada golongan memerlukan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700 turut bertujuan mengurangkan kemiskinan relatif.

Pelarasan gaji 25 hingga 30 peratus bagi penjawat awam berpendapatan rendah juga dilaksanakan untuk menangani jurang pendapatan.

“Penjawat awam dalam kategori rendah ini tergolong dalam kumpulan miskin, bukan miskin tegar, tetapi masih miskin,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Beliau menyatakan kenaikan gaji antara 25 hingga 30 peratus khususnya bagi kumpulan terbawah membantu mengurangkan kesenjangan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Anwar berharap ada ruang lagi untuk peningkatan gaji sebaik sahaja keadaan ekonomi lebih meyakinkan.

Menjawab soalan tambahan mengenai pelaksanaan bantuan SARA RM100, beliau berkata lebih 80 peratus penerima telah menebus bantuan itu setakat ini.

Lebih 2,000 kedai kecil luar bandar kini menerima transaksi di bawah program berkenaan berbanding hanya kira-kira 180 kedai ketika inisiatif itu mula diperkenalkan.

Peningkatan ini membuktikan pelaksanaan program tersebut membantu memudahkan urusan rakyat sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Mengenai usaha mengurangkan kemiskinan di Sabah dan Sarawak, Anwar berkata kerajaan memberi keutamaan kepada negeri berpendapatan rendah dan kawasan pedalaman.

Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan SARA mencatat agihan tertinggi antaranya di Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan agihan bantuan di kawasan rumah panjang memerlukan penyesuaian mengikut struktur komuniti setempat.

Ini bagi memastikan penerima mendapat manfaat secara berkesan daripada bantuan yang disalurkan.

Mengenai indikator baharu pengukuran kemiskinan, Anwar berkata kerajaan sedang menyelaras pangkalan data MyKad dengan rekod peruntukan agensi kerajaan.

Penyelarasan melibatkan agensi Persekutuan, negeri, zakat dan bantuan lain bagi mengelakkan pertindihan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak.

“Selain bantuan tunai, kita tingkatkan program seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN supaya keluarga dapat jana pendapatan stabil dan tidak kembali kepada kemiskinan,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

CPF and NH Foods unite to form CPF NH to deliver high-quality processed pork products for Asian consumers

Charoen Pokphand Foods (CPF) and NH Foods have launched a joint venture to produce premium processed pork products for Asian markets. The partnership combines CPF’s extensive distribution and NH Foods’ advanced manufacturing expertise to set new standards in food safety, quality, and sustainability across the region.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img