the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 15, 2025
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kastam Selangor rampas rokok, kenderaan dan minuman keras bernilai RM26 juta

JKDM Selangor gagalkan cubaan seludup rokok, kenderaan mewah, gelung keluli dan minuman keras bernilai RM26.24 juta dalam Operasi Fortex Trident

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok, kenderaan, gelung keluli dan minuman keras dianggar bernilai RM26.24 juta termasuk duti serta cukai pada Oktober hingga awal November lepas.

Pengarah Kastam Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata kesemua barangan terbabit dirampas menerusi Operasi Fortex Trident di sekitar Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

Beliau berkata dalam serbuan di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini pada 29 Okt dan 4 Nov lepas, pihaknya merampas lebih 28.8 juta batang rokok putih daripada tiga kontena berstatus alih muatan berukuran 12.19 meter dengan manifes diikrarkan sebagai pakaian.

“Hasil pemeriksaan terhadap kontena pertama menemukan 10 juta batang rokok putih manakala 18.81 juta batang rokok putih ditemukan pada kontena kedua dan ketiga.

“Kesemuanya dianggar bernilai RM3.7 juta serta duti dan cukai berjumlah RM19.79 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Azhar berkata pihaknya turut menyita lima kenderaan termasuk dua kenderaan elektrik (EV), kesemua dianggar bernilai RM1.02 juta dalam serbuan di sekitar Pelabuhan Klang dan Gudang Zon Bebas pelabuhan itu pada 17 dan 25 Okt selepas didapati disimpan melebihi tempoh dibenarkan dalam gudang berlesen serta gagal menjelaskan duti dan cukai.

Beliau berkata tiga kenderaan mewah disita antaranya BMW dan Porsche itu adalah kereta terpakai manakala EV pula model baharu yang dipercayai diimport tanpa Permit Import.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohamad Azhar berkata pihaknya turut merampas 28 gelung keluli seberat 108,874 kilogram (kg) daripada empat kontena bersaiz 6.09 meter di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 22 Okt.

Siasatan mendapati barangan terbabit diimport tanpa Permit Import serta tertakluk kepada duti antilambakan sebanyak 52.10 peratus, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM909,642 termasuk cukai dan duti antilambakan. 

Bagi minuman keras, beliau berkata JKDM Selangor merampas pelbagai barangan itu dianggar bernilai RM807,646 termasuk duti dan cukai dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah kedai bebas cukai, gudang zon bebas serta sebuah premis di Shah Alam.

“Serbuan pertama di sebuah kedai bebas cukai di Pelabuhan Barat pada 30 Okt menemukan 1,573.40 liter minuman keras pelbagai jenis yang belum dijelaskan duti dan cukai, dengan lesen kedai berkenaan juga didapati telah tamat tempoh. 

“Serbuan kedua pada 14 Okt dan 4 Nov di gudang zon bebas Pelabuhan Utara menemukan 16 palet berkotak kayu berisi 2,562 liter minuman keras pelbagai jenis yang diikrarkan sebagai sos salad dan perabot,” katanya.

Mohamad Azhar berkata serbuan seterusnya di kedai runcit di Shah Alam menemukan 752.11 liter minuman keras dipercayai tidak mempunyai permit import.

Ketiga-tiga kes, katanya disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories