Kementerian Dalam Negeri selesai 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri penduduk pedalaman Sarawak melalui Pasukan Petugas Khas.
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyelesaikan 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri bagi penduduk pedalaman Sarawak menerusi Pasukan Petugas Khas (PPK).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 13,224 permohonan yang dikumpulkan PPK sejak Julai 2023.
Baki 715 permohonan sedang dalam proses untuk diselesaikan sepenuhnya.
Beliau menjelaskan masih terdapat penduduk yang tidak memiliki sijil kelahiran atau MyKad walaupun Malaysia negara maju.
Keadaan itu menyukarkan kehidupan mereka termasuk dari segi akses kepada pendidikan dan rawatan kesihatan.
“Pegawai tidak tunggu di pejabat. Pegawai pergi ke rumah panjang, mencari orang yang tidak ada dokumen.
“Kalau ini berlaku (tanpa dokumen pengenalan diri), kehidupan mereka jadi payah. Nak sekolah susah, sakit demam nak pergi hospital belanja mahal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.








