KDN tidak berkompromi pencerobohan perairan namun utamakan selamatkan nyawa dalam insiden bot karam, kata Menteri Saifuddin Nasution
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan pencerobohan perairan negara termasuk oleh pendatang tanpa izin atau aktiviti pemerdagangan manusia.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa apabila berlaku insiden seperti kapal karam.
“Sama ada istilahnya pelarian, penyeludupan manusia atau pemerdagangan orang, tugas utama agensi penguat kuasa adalah untuk menghalang mereka daripada memasuki perairan negara.
“Namun, kalau dah berlaku insiden macam bot karam misalnya, kerja kita adalah menyelamatkan dahulu. Bila bot karam, kita biarkan dia (mangsa) mati lemas, itu zalim namanya, jadi kita selamatkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia (WDAT) di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia tetap komited melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dalam situasi kecemasan namun pada masa sama berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan dan keselamatan negara.
Mengulas mengenai insiden bot karam di Langkawi, beliau memaklumkan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan meliputi kawasan pencarian kira-kira 250 batu nautika persegi.
Katanya fokus operasi ketika ini tertumpu sekitar lingkungan empat hingga lima batu nautika dari pesisir pantai negara dan semua mangsa yang ditemui, sama ada terselamat atau tidak, akan dibawa ke Pulau Langkawi.
“Pertama kita nak tahu sama ada mereka ada dokumen atau tidak, dokumen masuk ke negara ini atau dokumen pengenalan diri. Jika tiada, mereka akan dikategorikan di bawah kesalahan imigresen.
“Kemudian, kita akan kenal pasti negara asal dan siasat dari mana mereka mula belayar serta lokasi terakhir sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Terdahulu, enam lagi mayat imigran dipercayai mangsa bot karam ditemukan terapung oleh pihak berkuasa Thailand di perairan sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa setakat ini seramai 26 orang termasuk 13 yang masih hidup. – Bernama






