Polis percaya kecuaian pemandu menyebabkan SUV terjunam gaung sedalam 61 meter di Hulu Terengganu, membunuh sepasang bakal pengantin.
KUALA BERANG: Polis percaya faktor kecuaian menjadi punca kemalangan maut yang melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abd Wahab berkata siasatan mendapati tiada kesan brek di lokasi kejadian.
Beliau berkata kenderaan itu dipercayai terus menghala ke kawasan jalan yang terputus sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 61 meter.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kelajuan kenderaan juga tidak tinggi berdasarkan serpihan kenderaan yang ditemui di lereng bukit,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan jika pemandu memandu laju, kenderaan akan melayang sebelum terjatuh, namun serpihan menunjukkan ia terus terjunam.
“Kita percaya punca kemalangan lebih kepada faktor kecuaian iaitu tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu,” katanya.
Sharudin berkata operasi mengeluarkan kenderaan dari gaung semalam mengambil masa hampir empat jam susulan hujan lebat.
Pemeriksaan menemukan tapak kamera papan pemuka, namun alat kamera tidak ditemui dan dipercayai tercampak semasa kejadian.
Kenderaan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
Sharudin turut memberi amaran polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengalih tanda amaran atau penghadang keselamatan di lokasi berkenaan.
Katanya, pihak berwajib telah meletakkan banyak tanda amaran dan penghadang konkrit tetapi ia dialih oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam kejadian itu, sepasang bakal pengantin dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang, Kelantan maut selepas kenderaan mereka terbabas.
Jalan berkenaan sebelum ini ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat.








