Nurul Izzah tekankan pelaksanaan menyeluruh dan penglibatan semua pihak penting untuk transformasi pendidikan melalui Rancangan Pendidikan Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kejayaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bergantung kepada pelaksanaan yang tuntas dan penglibatan berterusan semua pihak berkepentingan.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata reformasi dasar pendidikan awal membuka peluang penting untuk mentransformasikan landskap pendidikan negara.
Beliau berkata pengenalan pendaftaran sukarela ke Tahun Satu pada usia enam tahun perlu mengambil kira jurang kesediaan prasarana dan tenaga pengajar.
“Peralihan secara sukarela itu berpotensi mewujudkan lonjakan bilangan murid dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan.
Nurul Izzah menekankan risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal boleh melebar tanpa pendekatan berbeza mengikut konteks setempat.
Dasar itu bagaimanapun sejajar dengan amalan pendidikan global dan menempatkan Malaysia selari dengan 143 negara lain.
Pendedahan awal kepada persekitaran pembelajaran berstruktur membolehkan intervensi dilaksanakan secara bertempat.
Ia membantu mengenal pasti keperluan perkembangan kanak-kanak serta menyediakan mereka untuk pembelajaran sepanjang hayat.
Dasar itu juga diharap dapat membantu ibu bapa yang bekerja menghadapi kos penjagaan kanak-kanak yang semakin meningkat.
Sementara itu, pendedahan awal kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah amat penting.
Ia bagi menangani fenomena “the lost boys” yang menyumbang kepada jurang jantina dalam pendidikan.
Laporan UNICEF 2023 menunjukkan bilangan murid perempuan menamatkan persekolahan peringkat menengah lebih tinggi berbanding murid lelaki.
“Pendedahan awal TVET di sekolah rendah dan menengah bukan sahaja membina asas kemahiran, malah mampu menarik minat murid sejak awal,” katanya.
Ia juga memastikan kesinambungan kurikulum hingga ke alam pekerjaan yang lebih sejajar dengan kehendak industri.
Keputusan meletakkan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai peneraju tunggal sistem pendidikan prauniversiti mulai 2027 merupakan langkah tepat.
Perubahan itu akan membolehkan penempatan ke universiti awam dilaksanakan secara lebih inklusif.
Ia juga akan mengoptimumkan sumber dan bakat sedia ada untuk perancangan jangka panjang.








