Kelantan pastikan tiada jualan emas mentah haram berlaku di tanah kerajaan negeri, kawalan ketat melalui Enakmen Urusan Emas Mentah 1991
KOTA BHARU: Kelantan mengesahkan tiada penjualan emas mentah secara haram berlaku di tanah milik kerajaan negeri setakat ini.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kebanyakan laporan diterima hanya berbentuk pandangan sisipan melalui media sosial.
“Bagaimanapun, perkara yang dibangkitkan itu masih kita kaji dan teliti serta menunggu laporan sepenuhnya,” katanya di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim mengenai perkembangan siasatan perlombongan emas di Kusial, Tanah Merah.
Mohamed Fadzli menjelaskan dasar penjualan emas mentah dikawal melalui Enakmen Urusan Emas Mentah 1991.
Syarat utama enakmen tersebut menghendaki pembeli emas mentah mempunyai lesen dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan.
“Beberapa pendekatan telah dilaksanakan bagi memastikan pengusaha perlombongan emas mematuhi garis panduan.”
“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, agensi berkaitan akan mengambil tindakan wajar di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pelanggaran syarat lesen tenemen mineral boleh menyebabkan pelucuthakan atau pembatalan lesen.
Tindakan ini akan diambil oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri melalui Enakmen Mineral 2001. – Bernama






