the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 12, 2025
24.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kepimpinan Sultan Selangor: Legasi sifat rendah diri, tadbir urus berteraskan rakyat

Sultan Sharafuddin Idris Shah dikenali sebagai pemimpin yang rendah diri, tegas dan komited kepada rakyat Selangor, kata Pengerusi Bernama

KUALA LUMPUR: Ciri-ciri kepimpinan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ialah gabungan unik sifat rendah diri, ketegasan dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap rakyat di negeri berkenaan, menurut Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengimbas kembali temu bual beliau dengan baginda pada 2011 bersempena dengan ulang tahun ke-10 pemerintahan baginda sebagai Sultan Selangor, Wong berkata Sultan Sharafuddin sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan sepanjang memerintah, yang menekankan kepentingan keharmonian dan perpaduan di Selangor.

 “Baginda sentiasa memimpin melalui teladan, mengutamakan keharmonian, empati, dan kesejahteraan rakyat. Baginda ialah seorang pemimpin yang benar-benar memahami keperluan rakyat dan pengaruhnya akan terus membentuk Selangor bagi tahun-tahun akan datang.

“Perkara yang paling menarik perhatian saya ialah ketekalan baginda. Sultan Sharafuddin kekal teguh pada prinsip selama 20 tahun yang lepas. Harapan baginda sentiasa ingin melihat rakyat hidup dalam harmoni dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya pada program Bernama TV, The Nation bertajuk Through The Eyes of a Journalist: Sultan Selangor, di sini.

Wong, yang mengenali Sultan Sharafuddin hampir dua dekad, menekankan sifat merendah diri baginda yang menolak istiadat dan kemegahan yang tidak perlu kerana baginda lebih gemarkan perkara yang ringkas dan sering meminta agar tiada formaliti atau karpet merah dihamparkan dalam acara awam.

Malah, Tokoh Wartawan Negara itu berkata Sultan Sharafuddin juga membaca sendiri surat dan e-emel yang dihantar oleh rakyat, amalan yang membezakan baginda dengan ramai pemimpin politik.

“Baginda meluangkan masa untuk membaca aduan daripada rakyat. Saya rasa wakil rakyat pun tidak berbuat demikian setiap hari,” katanya sambil menekankan kesediaan dan penglibatan langsung baginda dengan isu yang menimpa masyarakat.

Wong berkata satu contoh yang menyentuh hati ialah sepucuk surat daripada wanita yang menghadapi kes perceraian berlarutan selama tujuh tahun, dan baginda yang tersentuh dengan rintihan itu telah campur tangan secara peribadi untuk mempercepat proses perundangan, menunjukkan empati mendalam dan komitmen akan keadilan.

“Baginda berkenan mengambil tindakan untuk memastikan kes itu diselesaikan,” kata Wong.

Walaupun memiliki sifat tanggungjawab yang tinggi, Wong menyifatkan Sultan Sharafuddin sebagai pemimpin yang tidak melangkaui peranan baginda di bawah Perlembagaan.

“Baginda amat memahami tugas sebagai Sultan menurut Perlembagaan dan memahami batas kuasa. Baginda tidak pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran harian kerajaan, tetapi menggunakan pengaruh baginda untuk menyuarakan isu penting apabila perlu,” katanya.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Sharafuddin ke-80 dan hampir 25 tahun memerintah Selangor, Wong memuji sumbangan baginda, menyatakan bahawa legasi baginda ialah kepimpinan yang tidak mementingkan diri sendiri.

“Pada usia 80 tahun, baginda masih aktif dan terus mendekati rakyat. Pendekatan kepimpinan baginda yang mengutamakan rakyat dan menumpukan perpaduan, kekal sebagai teladan kepada semua pemimpin,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Johnson & Johnson and Asia Pacific Patient Advocacy Group Leaders Unite to Strengthen Shared Decision-Making in Lung Cancer Care

Patient survey finds that those engaged in shared decision-making were 11 times more likely to report higher satisfaction with their treatments, with 90% of lung cancer patients in Japan wanting to play an active role in their treatment decisions[1]

Most Viewed

spot_img

Popular Categories