Mahkamah Tinggi tetapkan 26 Dis untuk keputusan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram Najib melibatkan dana 1MDB RM2.3 bilion.
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi menetapkan 26 Disember ini untuk menyampaikan keputusan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad berjumlah RM2.3 bilion.
Perbicaraan kes ini telah berlangsung selama 302 hari dalam tempoh tujuh tahun sebelum tarikh keputusan diumumkan.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh keputusan itu walaupun pihak pembelaan masih belum selesai mengemukakan hujahan balas.
Beliau menyatakan pihak pembelaan boleh meneruskan hujahan pada 4 November ini sambil menegaskan keputusan akan disampaikan pada 26 Disember.
Terdahulu peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan meneruskan hujah selepas solat Jumaat.
Permohonan peguam untuk meneruskan hujahan selepas solat Jumaat itu ditolak oleh hakim kerana mempunyai urusan lain. – Bernama




 
                                    





