Program SARA diperluas kepada 10,000 peniaga kecil dan kedai runcit di kampung bagi perkukuh ekonomi mikro dan mudahkan akses barangan keperluan
IPOH: Kerajaan akan memperluas pendaftaran baharu Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 10,000 peniaga kecil dan kedai runcit di kampung.
Perluasan ini dijangka memperkukuh ekonomi mikro serta memudahkan akses barangan keperluan di kawasan pedalaman.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak Amirudin Tajudin menyokong penuh inisiatif itu.
Beliau menasihatkan peniaga kecil agar merebut peluang yang disediakan kerajaan.
“Dengan sasaran 10,000 peniaga termasuk mereka yang beroperasi di kampung, penduduk setempat akan lebih mudah membeli barangan keperluan, sekali gus meningkatkan jualan peniaga kecil,” katanya.
Amirudin turut mencadangkan agar peniaga memanfaatkan peluang ini untuk menambah stok dan memperbaiki keadaan kedai.
DPPM juga menyambut baik langkah kerajaan mengadakan Program Jualan Rahmah MADANI tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri.
Ini bagi menangani kebimbangan rakyat terhadap kenaikan harga barang.
“Dengan lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI yang akan diadakan, program itu mampu memastikan barangan asas ditawarkan pada harga lebih rendah,” jelasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan pendaftaran program SARA pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.
Peluasan itu bertujuan menangani isu penduduk kampung yang masih belum berdaftar dalam sistem sedia ada.
Anwar juga mengumumkan Jualan Rahmah MADANI akan bermula 9 Januari ini.
Secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan dilaksanakan melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan.
Program ini menawarkan penjimatan antara 10% hingga 30% bagi barangan keperluan harian terpilih.
Ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.








