Kementerian Kerja Raya menganggarkan RM327.8 juta diperlukan untuk membaiki infrastruktur awam yang rosak akibat Monsun Timur Laut, dengan kemungkinan kos meningkat.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan sebanyak RM327.8 juta diperlukan setakat ini bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam yang terjejas akibat Monsun Timur Laut.
Daripada jumlah itu, RM225.9 juta diperlukan untuk kerja membaiki jalan raya.
Sebanyak RM47.4 juta diperlukan untuk pembaikan komponen bukan turapan di jalan Persekutuan manakala kira-kira RM54.5 juta untuk pembaikan cerun runtuh.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata angka itu berdasarkan laporan kerosakan semasa.
Beliau berkata ia berkemungkinan meningkat sekiranya terdapat laporan baharu.
“Pada masa ini kami masih mempunyai bajet untuk kerja pembaikan tetapi kita lihat dahulu sejauh mana keadaan monsun kali ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menambah keadaan setakat ini agak terkawal dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang lebih teruk.
Nanta berkata KKR mempunyai peruntukan teras sedia ada bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera.
Permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sekiranya kos keseluruhan melebihi bajet semasa.
Beliau turut merujuk kepada kelulusan peruntukan khas RM500 juta oleh Perdana Menteri baru-baru ini bagi memperbaiki infrastruktur awam yang rosak akibat banjir.
Peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pengurusan impak musim monsun.
“Peruntukan RM500 juta itu bukan sepenuhnya untuk KKR, ia meliputi keseluruhan pengurusan bencana,” jelasnya.
Beliau menambah sebahagian besar perlu diselaraskan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).







