JPM Hal Ehwal Agama serius isu lirik lagu lucah, gesa penggiat seni patuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam bagi elak pengaruh negatif.
PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius penularan lirik lagu berunsur lucah dan tidak senonoh yang bercanggah dengan nilai akhlak masyarakat.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan, berkata semua penggiat seni, penerbit dan pengkarya perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua).
Garis panduan itu diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.
“Garis panduan ini dengan jelas menetapkan bahawa lirik hiburan hendaklah bebas daripada unsur lucah, maksiat, penghinaan, manipulasi kalimah suci Islam serta perkara yang bercanggah dengan syarak dan nilai kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Islam menuntut umatnya supaya menjaga kesucian lidah, pendengaran serta hati.
Ajaran agama mengingatkan agar setiap perkataan yang diucapkan membawa kebaikan dan tidak merosakkan maruah serta akhlak insan.
“Islam meraikan karya seni dan keindahan tetapi seharusnya ia menjadi wasilah mendidik, menenangkan jiwa dan menyebarkan nilai murni bukan sebaliknya,” katanya.
Zulkifli menambah hiburan yang baik ialah hiburan yang membina jiwa serta memperkukuh akhlak.
Beliau berharap agar teguran itu diterima dengan hati yang terbuka demi kebaikan bersama dan kesejahteraan masyarakat.
Teguran itu merujuk kepada lagu baharu seorang artis wanita tempatan yang dikatakan mempunyai lirik berunsur lucah dan tidak bersesuaian.








