Saturday, November 1, 2025
32.1 C
Malaysia
spot_img

Kerjasama AMEC, PDRM, JKDM tangani salah guna perkhidmatan kurier

The Sun Webdesk

AMEC bekerjasama dengan PDRM dan JKDM untuk selesaikan isu penyalahgunaan perkhidmatan kurier bagi kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah.

SHAH ALAM: Kerjasama antara Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) penting bagi menangani isu salah guna perkhidmatan kurier untuk kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah. 

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerjasama itu akan membolehkan pemain industri kurier memahami isu itu dengan lebih menyeluruh sekali gus mengambil langkah tepat dalam menyelesaikan kelompangan yang wujud.

Beliau berkata keselamatan industri kurier perlu menjadi keutamaan mengambil kira perkhidmatan penghantaran yang pantas dan efisien kini mula disalah guna penjenayah.

“Kita mesti bermula dengan berdasarkan fakta, data dan laporan daripada tindakan yang telah diambil pasukan keselamatan seperti PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Dari situ, kita dapat lihat modus operandi penjenayah dan sekiranya ada kelompangan dalam proses yang disalah guna, maka kita minta sektor kurier mengambil tahu dan segera selesaikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata hasrat untuk menjalin kerjasama lebih erat antara PDRM dan syarikat kurier itu turut disampaikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan.

“Untuk permulaan, saya minta AMEC mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan pihak Kastam bagi memahami isu ini dengan lebih menyeluruh.

“Pada masa sama, AMEC juga kena pastikan syarikat menguruskan pusat-pusat penyisihan barang hantaran mempunyai cara terbaik untuk membuat saringan lebih tepat bagi mengelak perkhidmatan rangkaian kurier kita disalah gunakan oleh penjenayah,” katanya. 

Terdahulu, Fahmi turut melancarkan Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) iaitu dokumen yang kali pertama dikeluarkan sebagai piawaian operasi kepada industri kurier negara, bagi memastikan perkhidmatan berkenaan terus relevan, cekap dan berintegriti dalam mendepani cabaran era digital.

Menurut beliau, CPPS yang dibangunkan Postal Forum diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tahun lepas, setelah konsultasi menyeluruh bersama pemain industri.

“Saya harap semua penyedia perkhidmatan kurier dapat memastikan kod amalan ini dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) syarikat masing-masing, tetapi kita juga faham mereka perlu sedikit masa untuk teliti dan ubah suai ikut kesesuaian syarikat… kita serah kepada Postal Forum untuk bantu,” katanya.

Pada majlis sama, Fahmi turut menyaksikan majlis penandatanganan Surat Kolaborasi antara Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd dan Rakan Kurier, menyaksikan platform e-dagang itu akan mengguna pakai lebih banyak syarikat kurier tempatan untuk menghantar barangan pelanggan.

Syarikat kurier terlibat adalah GD Express Sdn Bhd (GDEX), City-Link Express (M) Sdn Bhd, POS Malaysia dan SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd.

Inisiatif melalui MCMC dengan sokongan AMEC serta rakan industri di bawah Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian Kurier (CNSF) itu merupakan yang pertama di ASEAN berpaksikan perkongsian kapasiti, kolaborasi data dan kecekapan operasi antara pemain tempatan dan antarabangsa, sekali gus membantu memastikan persaingan lebih adil.

Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan Anugerah Tokoh Industri Kurier 2025 kepada Mohd Syahirul Amin Kamarudin dari Skynet Worldwide (M) Sdn Bhd, manakala SPX Xpress (Malaysia) Sdn dipilih pemenang Anugerah MyKurier dengan penarafan empat bintang. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img