Perdana Menteri Anwar Ibrahim sambut baik kemajuan kerjasama Nvidia-YTL Power dalam membangun infrastruktur AI untuk manfaat rakyat Malaysia.
GYEONGJU: Kemajuan ketara kerjasama Nvidia Corporation-YTL Power International Bhd dalam membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) merupakan dorongan untuk mempercepatkan inisiatif AI negara demi manfaat semua rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua syarikat itu kerana mencapai pencapaian penting ini dalam tempoh 22 bulan.
“Malaysia menetapkan sasaran untuk menjadi negara berpaksikan AI menjelang 2030 memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti, memperkasakan perkhidmatan awam dan membina ekonomi digital yang mampan, inklusif dan beretika.
“Mewujudkan AI berdaulat oleh kita sendiri adalah sangat penting dalam membangunkan ekosistem digital dikuasakan AI yang selamat dan dipercayai,” kata Anwar dalam satu kenyataan selepas bertemu dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia Corp Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Mesyuarat itu diadakan di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) yang bermula hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ia merupakan pertemuan kedua Anwar dengan “personaliti gergasi teknologi terbaharu” (newest tech megastar) seperti yang digambarkan oleh industri itu baru-baru ini, kali terakhir mereka bertemu adalah di Putrajaya pada 2023.
Antara pencapaian penting dicapai ialah kejayaan menyiapkan kemudahan pusat data AI canggih YTL Power dengan kerjasama Nvidia di Taman Pusat Data Hijau YTL 600MW di Kulai, Johor.
Kemudahan berkenaan dikuasakan oleh penyejukan cecair GPU NVL72 Grace Blackwell (GB 200) yang disejukkan cecair bersama-sama dengan Ilmu, mewakili langkah besar ke hadapan dalam membina AI berdaulat Malaysia.
Pada Julai tahun lepas, kedua-dua syarikat membangunkan infrastruktur AI dikuasakan oleh tenaga hijau di Malaysia, disokong oleh pelaburan bernilai RM10 bilion.
Menurut kenyataan itu, Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam aspirasinya untuk menjadi negara AI dalam masa yang singkat.
Ia melancarkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital pada Disember tahun lepas dan telah mengumumkan satu set inisiatif untuk memacu penggunaan AI di negara ini, termasuk pembangunan awan AI berdaulat dan pelbagai program untuk peningkatan kemahiran dan penggunaan AI dalam sektor awam dan swasta.
Malaysia juga melancarkan Ilmu bermaksud ‘Intelek Luhur Malaysia Untukmu’, model bahasa besar pertamanya di Sidang Kemuncak AI ASEAN pada Ogos tahun ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah memperuntukkan RM5.9 bilion dalam Belajawan 2026 untuk memperkukuh sektor AI negara.
“Pelaburan yang besar ini menggariskan komitmen kami yang kukuh untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau utama untuk Inovasi AI dan kecemerlangan pusat data.
“Kami akan terus mempromosikan pelaburan strategik secara aktif dalam infrastruktur AI, memacu misi kami untuk menerajui transformasi digital.
“Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan, kami sedang mempercepatkan penerimaan dan penyepaduan AI merentasi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan memperkasakan industri untuk meningkatkan produktiviti, daya saing dan kerelevanan global,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Yeoh berkata membangunkan awan berdaulat telah menjadi semakin penting bagi pelbagai negara untuk bagi membangunkan perkhidmatan AI untuk pihak kerajaan dan rakyat.
“Dengan YTL AI Cloud yang kini sudah beroperasi, dan pelancaran Ilmu — model bahasa besar kami dibangunkan dan dimiliki oleh Malaysia, Malaysia akan menjadi antara yang pertama di rantau ini yang mendapat manfaat daripada keupayaan AI berdaulat sebenar.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pandangan jauhnya dalam mewujudkan rangka kerja dasar yang membolehkan kemajuan pesat infrastruktur AI di seluruh negara,” katanya. – Bernama




 
                                    





