Kerjasama institusi zakat dan swasta bantu 1,000 asnaf tunaikan umrah, manfaatkan data tepat sasarkan bantuan kepada yang layak.
SEPANG: Kerjasama antara institusi zakat negeri dan sektor swasta dalam membantu golongan asnaf menunaikan ibadah umrah penting bagi memperluas jaringan kebajikan Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata inisiatif seperti kempen “Umrah 1,000 Asnaf” memperlihatkan usaha memastikan manfaat zakat disalurkan bukan sahaja untuk keperluan asas.
“Manfaat zakat juga disalurkan bagi memenuhi impian spiritual golongan asnaf fakir dan miskin,” katanya.
Beliau menyatakan inisiatif ini mencerminkan semangat tanggungjawab sosial bersama antara kerajaan, institusi agama dan pihak swasta.
Mohd Na’im turut menyifatkan inisiatif itu sebagai contoh bagaimana penggunaan teknologi mampu memperkukuh urusan kebajikan.
“Data asnaf yang disalurkan oleh institusi zakat negeri memainkan peranan penting bagi memastikan bantuan disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com Ikhlas Kamarudin berkata kempen Umrah 1,000 Asnaf dilancarkan pada Mac lepas.
Beliau berkata kempen itu dilaksanakan dengan menggunakan data asnaf yang disalurkan institusi zakat negeri-negeri.
Ini membolehkan pemilihan peserta dibuat secara lebih tepat bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan mendapat peluang menunaikan ibadah tersebut. – Bernama









