Thursday, November 6, 2025
20.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Kes tikam pelajar: Suspek pendam cinta terhadap mangsa

The Sun Webdesk

SHAH ALAM: Remaja 14 tahun yang menikam rakan sekolah berusia 16 tahun sehingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini semalam, meminati mangsa secara rahsia.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek dikatakan “peminat rahsia” dan memendam perasaan cinta terhadap mangsa walaupun mereka berlainan kelas.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai perasaan kepada mangsa tetapi tidak dikongsikan. Ia lebih kepada memendam perasaan. Mangsa dipercayai tidak mengetahui perasaan suspek,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata mereka daripada kelas peralihan dan suspek pelajar tingkatan satu manakala mangsa tingkatan tiga.

Selain itu, siasatan juga mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai hubungan atau interaksi sebelum kejadian.

“Faktor dorongan emosi dan pengaruh media sosial dikenal pasti sebagai antara punca suspek berkelakuan sedemikian,” katanya.

Ditanya sama ada suspek mempunyai masalah mental, Shazeli berkata buat masa ini pihaknya belum dapat mengesahkan keadaan kesihatan mental suspek.

Berhubung dakwaan cinta suspek ditolak mangsa seperti tular di media sosial, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan kerana tiada keterangan yang jelas berkenaan emosi dua pelajar tersebut.

“Kami perlu mendapatkan rujukan daripada pakar psikiatri berkenaan perkara itu, cuma mungkin keadaan emosi suspek tidak stabil semasa kejadian,” katanya.

Berhubung penemuan nota “Dunia ni palsu. Saya sudah menang” yang juga tular di media sosial, Shazeli mengesahkan nota itu ditemukan semasa suspek ditangkap.

“Ia (nota) dirampas bersama-sama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku. Berkaitan kandungan nota, ia masih dalam siasatan lanjut polis,” katanya.

Shazeli berkata siasatan merangkumi semua aspek termasuk latar belakang suspek dan mangsa.

Beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan nota dan gambar mangsa serta suspek kerana mereka masih di bawah umur selain siasatan sedang berjalan.

“Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua termasuk pihak sekolah serta masyarakat untuk bersama-sama memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Shopee Kicks Off 11.11 Big Sale with Shopee House and Shopee Superstar Awards 2025

KUALA LUMPUR, MALAYSIA - Media OutReach Newswire - 4 November 2025 - On 1 and 2 November 2025, Shopee Malaysia brought together top creators, brands, and partners for a two-day showcase of creativity and community through Shopee House and the Shopee Superstar Awards 2025, powered by Proton Malaysia and La Roche-Posay.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img