KPDN melancarkan Ops Kesan 5.0 untuk pantau dan cegah pencatutan susulan pelarasan gaji awam SSPA Fasa 2, dengan denda mencecah RM500,000.
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 5.0 bermula 1 Januari lalu.
Operasi itu bertujuan memantau dan mengekang aktiviti pencatutan susulan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi itu menggariskan lima pendekatan utama.
Pendekatan pertama melibatkan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula pada 1 Julai 2025.
“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA,” katanya dalam satu kenyataan.
Pendekatan kedua ialah menggunakan data kutipan harian oleh Pegawai Pemantau Harga KPDN yang meliputi 316 item barangan.
Data itu akan menjadi panduan untuk memantau sebarang pergerakan harga yang tidak wajar.
KPDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penyertaan awam melalui Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR).
Satu prosedur operasi standard (SOP) baharu telah ditetapkan untuk pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan.
Menurut Azman, tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.
Pendekatan lain termasuk menyediakan pelbagai saluran aduan untuk orang ramai.
Antara saluran itu ialah WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.
Azman berkata operasi itu diharap dapat mengesan pihak yang membuat kenaikan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan.
Beliau mengingatkan bahawa peniaga individu yang disabitkan kesalahan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tiga tahun.
Bagi syarikat, hukuman denda boleh mencecah RM500,000 jika disabitkan kesalahan.








