the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, December 23, 2025
23.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

KPDN Pulau Pinang tempatkan 197 pegawai pantau harga Krismas

KPDN Pulau Pinang gerakkan 197 pegawai pantau harga maksimum Krismas 2025, sambil catat 846 kesalahan dengan sitaan RM3.46 juta setakat tahun ini.

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menempatkan 137 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau di lokasi strategik seluruh negeri.

Penempatan itu bagi memantau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bermula hari ini hingga 27 Disember.

Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata antara lokasi penugasan adalah pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

Ini bertujuan melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika serta memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.

“Pada masa sama, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menjamin bekalan barangan terkawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan label berwarna merah jambu bagi barangan yang tertakluk kepada kawalan harga.

SHMMP Krismas 2025 melibatkan sembilan jenis barangan di Semenanjung.

Barangan itu adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar dan ubi kentang import.

Dari 1 Januari hingga hari ini, KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 72,652 premis seluruh Pulau Pinang.

Sebanyak 846 kes telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan jumlah sitaan RM3.46 juta dan kompaun RM516,500.

KPDN juga menerima 2,635 aduan berhubung isu harga dan bekalan barangan bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

Daripada jumlah itu, 1,146 aduan berkaitan harga barangan dan perkhidmatan, 220 aduan bekalan barang kawalan manakala 1,269 adalah lain-lain aduan.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories