KPDN sasarkan 10 juta unit stok produk tempatan dalam Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 selepas catat jualan RM7.4 bilion tahun ini
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan nilai unit penyimpanan stok meningkat kepada 10 juta pada Kempen Beli Barangan Malaysia tahun hadapan.
Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sasaran itu wajar selepas mengambil kira 6,333,529 unit yang direkodkan tahun ini.
Angka itu menunjukkan peningkatan lebih enam kali ganda berbanding 1,003,765 unit pada 2023.
“Peningkatan ini membuktikan akses pasaran produk tempatan semakin meluas,” katanya pada sidang media selepas melancarkan KBBM peringkat Lotus’s Malaysia.
Fuziah berkata KBBM merekodkan jualan melebihi RM7.4 bilion tahun ini, meningkat 13.6% berbanding RM6.39 bilion pada 2023.
Mengulas pelaksanaan KBBM bersama rakan strategik industri, beliau berkata Lotus’s Malaysia merekod nilai jualan produk tempatan melebihi RM44.2 juta pada 2024.
Jualan itu melibatkan lebih 2,500 unit stok dengan peningkatan 9.1% berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini jelas menggambarkan produk tempatan mampu mendapat keyakinan pengguna,” katanya.
KPDN turut mengalu-alukan penyertaan lapan pembekal baharu yang kini menembusi rangkaian Lotus’s.
Fuziah berkata kerjasama ini menjana peluang pertumbuhan baharu kepada usahawan tempatan.
Lotus’s Malaysia akan melancarkan Kempen Belanja dan Tebus bermula 27 November ini.
Kempen ini bertujuan memberi pulangan nilai yang lebih menguntungkan pelanggan.
Ia juga bertujuan memperkukuh permintaan terhadap produk industri kecil dan sederhana.
“KPDN komited memperkasa agenda memartabatkan produk tempatan melalui kolaborasi berstruktur,” tegas Fuziah.
Kerjasama ini melibatkan 18 rangkaian pasar raya besar dan tiga platform e-dagang utama.
KPDN juga akan memperluas akses bimbingan, pensijilan dan fasilitasi pasaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
KBBM Peringkat Lotus’s Malaysia bermula hari ini sehingga Ahad dengan penglibatan 19 usahawan PMKS. – Bernama









