KPKT laksanakan projek inovasi pencahayaan ‘I Lite U’ dengan peruntukan RM4 juta untuk transformasi kawasan Bukit Bintang menjelang TMM2026.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di sekitar ibu negara khususnya Bukit Bintang sebagai destinasi pelancongan malam utama negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan projek yang dikenali sebagai ‘I Lite U’ merupakan inisiatif pencahayaan hiasan bandar yang dirangka bagi memperkukuh identiti malam Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Pelancongan Bertaraf Antarabangsa.
“KPKT memulakan inisiatif itu dengan memberikan peruntukan khas RM2 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk merancakkan pencahayaan di kawasan ibu kota khususnya Golden Triangle of Bukit Bintang,” katanya pada sidang media Majlis Prapelancaran Projek ‘I Lite U’.
Beliau berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif juga bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM4 juta bagi memastikan ia menyokong agenda kelestarian serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030.
Projek yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Januari tahun hadapan akan melibatkan kerjasama agensi seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Alam Flora Sdn Bhd.
Antara komponen reka bentuk pencahayaan ‘I Lite U’ termasuk pintu gerbang dan arca TMM2026 yang mengaplikasikan konsep Warm White Celebration of Light serta gabungan elemen moden dan tradisional.
Sejajar dengan inisiatif tersebut, satu pertandingan akan dianjurkan dengan tema Illuminate the City, Inspire the Nation merangkumi tiga kategori utama iaitu Pertandingan Fotografi, Pertandingan Video Pendek dan Pertandingan Lampu Bangunan Terbaik.
Penyertaan terbuka kepada orang ramai bermula 3 Januari hingga 20 Mac 2026 dengan menawarkan hadiah baucar hotel dan beli-belah bernilai hingga RM3,300.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata DBKL meneruskan pemantauan berjadual bagi risiko kejadian pokok tumbang terutamanya di kawasan tumpuan awam dan laluan utama.
“Sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN yang lepas, tiada sebarang insiden pokok tumbang dicatatkan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama
BACA: KPKT semak semula Akta 118 perkukuh tindakan terhadap pemaju culas










