Lebih 100 nelayan dan 27 penternak kupang di Johor terjejas pendapatan akibat tumpahan minyak sawit di perairan Kampung Pasir Putih.
JOHOR BAHRU: Sumber pendapatan lebih 100 nelayan termasuk 27 penternak kupang di Kampung Pasir Putih, di sini terjejas akibat kejadian tumpahan minyak di perairan berhampiran kampung berkenaan sejak semalam.
Ketua Nelayan Kampung Pasir Putih Hamzah Allahdita berkata kawasan terlibat dianggarkan meliputi jarak sejauh satu kilometer dan tumpahan disyaki berpunca daripada kilang memproses minyak sawit.
“Minyak ni ikut arus air, tak semua tempat kena, tapi memang boleh nampak kuning di sebahagian kawasan. Bot nelayan pun banyak yang kotor terkena minyak,” katanya ketika ditemui Bernama di jeti nelayan kampung itu di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun tiada ternakan kupang atau ikan dilaporkan mati setakat ini, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghentikan sementara pengambilan kupang selama dua hingga tiga hari bagi memastikan keselamatan.
“Sekarang kupang masih hidup, tapi bila kita ambil dan bersihkan, ia berminyak. Bila dah macam tu, pelanggan tak nak beli. Kami bimbang kupang rosak dan tak laku,” katanya.
Hamzah berkata nelayan dan penternak kupang kini terpaksa menghentikan aktiviti menangkap ikan serta menternak sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan, sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.
Sementara itu, seorang nelayan yang mengusakan ternakan kupang, Faizul Jumat Ismail berkata sebelum ini lebih 300 kilogram hasil laut termasuk kupang dapat dikeluarkan sehari, tetapi sekarang semuanya terhenti.
“Kerugian saya dianggarkan hampir RM20,000 kerana tidak boleh meneruskan kerja di samping jualan juga terjejas.
“Setakat ini kami masih menunggu kerja-kerja pembersihan dilakukan. Harapnya kesan tumpahan ni tidak berpanjangan bagi mengelakkan sumber pendapatan kami terjejas lebih lama,” katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati kerja-kerja pembersihan giat dijalankan dengan kira-kira 30 pekerja menggunakan pelbagai teknik dan peralatan bagi mengeluarkan minyak.
Wakil syarikat pembersihan yang ditemui berkata proses itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga hari bagi memastikan kawasan perairan kembali bersih dan selamat untuk aktiviti perikanan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata setakat ini 10 laporan telah diterima daripada nelayan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. – Bernama




 
                                    





