Kempen Internet Selamat 2025 libatkan lebih 369,000 pelajar di 8,462 sekolah, dengan fokus pendidikan risiko digital dan pencegahan penipuan.
KUALA TERENGGANU: Kempen Internet Selamat 2025 telah berjaya dilaksanakan di 8,462 sekolah di seluruh negara dengan penyertaan lebih 369,000 pelajar setakat 30 November lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata kempen itu akan diteruskan pada tahun hadapan.
Beliau menyatakan ia bagi memastikan kesinambungan usaha perlindungan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap ancaman dalam talian.
“Pelancaran kempen ini pada Januari lepas adalah usaha penting untuk mendidik rakyat tentang amalan selamat ketika berada dalam talian,” katanya.
Beliau menambah fokus kempen merangkumi penggunaan kata laluan yang kukuh hinggalah cara mengenal pasti penipuan, pemalsuan wajah dan maklumat palsu.
“Kempen ini bukan sahaja memberi kesedaran malah menyediakan modul latihan, bahan pembelajaran serta latihan bersemuka bersama sekolah, komuniti setempat dan agensi-agensi kerajaan.”
Nik Kamaruzaman berkata usaha ini memastikan semua lapisan masyarakat memahami risiko digital dan tahu mengenai langkah perlindungan.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam.
Di peringkat negeri, kempen itu telah memperkasa pelajar daripada 435 sekolah di Terengganu.
Nik Kamaruzaman menyifatkannya sebagai satu pencapaian besar yang mencerminkan komitmen negeri itu.
“Sebanyak 14,351 pelajar terlibat secara langsung melalui bengkel, ceramah dan aktiviti interaktif.”
Beliau berkata ini menandakan kesedaran rakyat semakin meningkat dan Terengganu kini dilihat sebagai antara negeri paling proaktif dalam pendidikan keselamatan digital.
Beliau berharap kempen berkenaan menjadi permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program literasi digital.
Program itu bakal melibatkan ibu bapa, belia, komuniti kampung, masjid serta agensi kerajaan dan swasta.
Matlamatnya adalah bagi membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika untuk generasi akan datang.
Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 Dr Quek Soh Theng berkata pendedahan mengenai keselamatan Internet dan isu buli siber adalah penting.
Beliau berkata sebelum ini masyarakat kurang terdedah kepada perkara itu, sekali gus menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian.
“Inisiatif yang dilaksanakan bermula dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi itu wajar buat secara berterusan.”
Quek berkata ia bagi membentuk generasi pengguna Internet yang lebih beretika dan berwaspada.
“Saya berharap kerajaan dapat memperluaskan lagi pelaksanaan program kempen itu dengan penglibatan lebih banyak sekolah.”
Beliau menambah ini supaya murid-murid mendapat pendedahan menyeluruh serta tidak menyalahgunakan kemudahan Internet.







