Muhammad Faiz Zainal, 36, maut setelah keretanya terbabas dan terhumban ke sungai di Taman Jelutong, Changlun pada awal pagi tadi
JITRA: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan terhumban ke dalam sungai di Taman Jelutong, Changlun pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengenal pasti mangsa sebagai Muhammad Faiz Zainal, 36, dari Kampung Padang 1, Bukit Kayu Hitam.
Polis menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 3.07 pagi sebelum anggota unit kereta peronda bergegas ke lokasi kejadian.
“Laporan awal menyatakan sebuah kereta telah terbabas di Taman Jelutong, Changlun berhampiran Kedai Nasi Ganja Pak Andak,” katanya.
Pihak bomba dan ambulans tiba di lokasi pada jam 5.33 pagi untuk operasi menyelamat.
Kereta jenis Nissan Almera bernombor pendaftaran VR6292 itu berjaya dikeluarkan dari sungai dengan mangsa ditemui sudah meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jitra untuk proses selanjutnya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama







