Mahkamah benarkan lima kes rasuah bekas setiausaha politik PM Shamsul Iskandar dibicarakan bersama, melibatkan suapan untuk kelulusan lesen mineral.
KUALA LUMPUR: Lima kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, akan dibicarakan bersama.
Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan perbicaraan kes-kes tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan tidak dibantah oleh peguam tertuduh, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan kes bagi proses serahan dokumen.
Farah Ezlin memohon lanjutan masa untuk pendakwaan menyiapkan dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada mahkamah dan pihak pembelaan.
Amer Hamzah berkata pihaknya tidak membantah tetapi meminta dokumen yang sedia ada diserahkan terlebih dahulu.
“Selepas teliti dokumen, kami akan mempertimbangkan untuk kemuka representasi jika terdapat sebarang kelemahan,” katanya.
Beliau menambah pihak pembelaan juga sedang mengkaji kemungkinan memfailkan permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Disember lepas atas empat pertuduhan rasuah.
Pertuduhan pertama ialah bersetuju menerima suapan RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing.
Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau juga didakwa menerima suapan RM40,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa.
Dua pertuduhan lain melibatkan penerimaan suapan berbentuk perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara November 2023 dan Mac 2024.
Pada 5 Disember, Shamsul Iskandar didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan rasuah.
Beliau didakwa memperoleh suapan RM62,924 daripada Tei yang dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita.
Wang itu untuk pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur sebagai dorongan bagi tujuan kelulusan lesen yang sama.
Semua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, hukuman maksimum ialah penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Rosli Ahmad juga membenarkan permohonan serupa untuk menggabungkan kes membabitkan Tei.
Kes-kes Tei di Mahkamah Sesyen Shah Alam akan dibicarakan bersama empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Rosli menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Tei didakwa pada 4 Disember atas dua pertuduhan memberikan suapan wang tunai RM100,000 dan RM40,000 kepada Shamsul Iskandar.
Dia juga berdepan dua pertuduhan memberikan suapan berbentuk perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249.
Pada 5 Disember, Tei didakwa di Shah Alam atas pertuduhan memberikan suapan RM64,924 kepada Shamsul Iskandar.
Wang itu dimasukkan ke akaun bank seorang wanita untuk bayaran sewa rumah di Kuala Lumpur.








