Bekas Ketua Polis Negara diperintah bayar RM250,000 ganti rugi dan RM60,000 kos kepada menteri berikutan kes saman fitnah.
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dalam satu kes saman fitnah.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hannah.
Panel diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azimah Omar itu membenarkan rayuan Hannah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam keputusannya ketika menolak saman Hannah,” kata Azimah.
Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 sebelum ini menolak saman Hannah dan mengarahkan beliau membayar kos sebanyak RM40,000.
Hannah, yang hadir di mahkamah hari ini, memfailkan saman terhadap Musa pada 2020.
Saman itu berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara itu pada sebuah forum bertarikh 30 Januari 2020.








