Saturday, November 22, 2025
26.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Mahkamah kekal hukuman mati bapa hentak bayi OKU

KUCHING: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bapa yang didapati bersalah membunuh bayi lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia dua bulan.

Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan tiada kesilapan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam menilai keseluruhan bukti perbicaraan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi berkata keterangan saksi utama termasuk isteri perayu serta bukti perubatan oleh pakar patologi adalah konsisten.

Menurut fakta kes, Vincent Marcos, 39, menggenggam kaki bayi sebelum mengangkat dan menghentakkan tubuh mangsa ke permukaan sofa.

Kejadian berlaku selepas perayu menuduh isterinya curang pada 28 April 2016.

Mangsa tidak bergerak selepas hentakan itu namun perayu gagal mendapatkan rawatan segera.

Bayi tersebut hanya dibawa ke hospital keesokan pagi dalam keadaan sudah meninggal dunia dengan terdapat kesan gigitan semut.

Hasil bedah siasat mendapati bayi mengalami kecederaan kepala teruk termasuk pendarahan subdural dan edema otak.

Pemeriksaan turut menemui beberapa kecederaan lama pada tulang rusuk, klavikel dan femur.

Pakar patologi menyatakan kecederaan lama itu berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematian dan selari dengan penderaan berulang.

Mahkamah Tinggi Bintulu mensabitkan Vincent pada 2 Ogos 2018 manakala Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut pada 26 April 2022.

Mahkamah Rayuan memaklumkan tindakan perayu memenuhi elemen niat atau pengetahuan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding hari ini, peguam perayu memberitahu pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi pengecualian hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz berhujah hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah paling wajar.

Beliau menegaskan perayu tidak menunjukkan rasa belas kasihan terhadap bayi yang tidak berdaya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories